sebagai manusia biasa, golongan pemimpin turut mempunyai sikap-sikap seperti yang ditunjukkan juga oleh orang kebanyakan.
tak jauh beza dengan golongan selebriti hiburan, setiap gerak geri, tindak tanduk dan tutur kata mereka sentiasa diperhatikan. dan memang fitrah manusia, kita mudah lihat kekurangan dari kelebihan yang ada pada seseorang. sebab itu, selalu didengar kisah-kisah kurang enak dikaitkan dengan mereka.
namun, dalam pada itu pasti ada satu dua yang duduk dalam kategori baik. baik dari segi cara berfikir, cara menutur kata dan sopan santunnya. dalam mana-mana permasalahan, dengan mengakui keterbatasan pengetahuan tentang perkara yang dimaksudkan, bijak pula dia mencari tempat rujukan yang tepat.
bahkan bila diberi nasihat dan pandangan, sudi amat dia mendengarnya tanpa membalas dengan kata-kata kesat sementelah hasratnya mungkin tidak dapat ditunaikan.
pokok pangkalnya, sesiapa sahaja personalitinya bermula dari hati. serumit mana keadaan, dalam tiap perbincangan, nada suara dan cara bercakap yang sopan amat berguna dalam menyelesaikan banyak perkara.
jika tak dapat selesaikan masalah, paling tidak pun dapat juga memujuk hati manusia yang terluka.